28.9.08

Al-Fatihah (Mohd Shahrul Yusoff)

Tragedi Sepanyol

KLANG: Sepatutnya Yusoff Harun, 60, dan Shamsiah Ahmad, 54, melalui detik gembira menyambut kepulangan anak ketiga mereka, Mohd Shahrul, 29, dari Sepanyol esok untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurul Ameera Syuhada Isharaf, 24, 26 Oktober ini.

Bagaimanapun, kegembiraan diharapkan suami isteri itu yang tinggal di Kampung Nelayan, Telok Gong, di sini, bertukar duka apabila menerima berita Mohd Shahrul meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, 17 September lalu, ketika Mohd Shahrul melakukan tugas di kawasan pembinaan saluran paip gas asli dasar laut antara Sepanyol dan Algeria di pelantar tengah laut selatan Sepanyol.

Anak ketiga lima beradik itu yang bertugas sebagai juruteknik untuk syarikat minyak dan gas, Saipem berpangkalan di Itali, terbunuh ditimpa paip besar ketika melakukan rutin memeriksa kualiti paip yang dipateri.

Kejadian berpunca daripada kren pengangkut paip mengalami masalah mekanikal, menyebabkan paip jatuh dan menimpa pekerja yang bertugas di pelantar.

Selain Mohd Shahrul, dua lagi rakyat Malaysia, Dawie Gatal dan Wat Chicw, kedua-duanya dari Sarawak, turut terkorban dalam kemalangan itu. Tiga lagi pekerja cedera parah, manakala seorang masih hilang selepas terjatuh ke dalam laut.

Difahamkan, syarikat yang membina saluran paip sepanjang 120 kilometer itu adalah Medgaz, manakala Saipem pula selaku penyedia pelantar pembinaan. Ia dijangka siap pada 2009.

Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan tiga rakyat Malaysia maut dalam kejadian itu.

Yusoff berkata, dia diberitahu berita kematian anaknya menerusi telefon oleh wakil Saipem di negara ini pada malam Rabu lalu, kira-kira jam 12.30 malam.

“Berita kematian anak saya memang mengejutkan. Begitupun, saya reda kerana ia ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, baru-baru ini.

Menurut Yusoff, sudah tiga tahun anaknya tidak pulang berhari raya bersama keluarga kerana bertugas di luar negara.

“Tahun ini Mohd Shahrul memberitahu dia dijadualkan bercuti dan menyambut Aidilfitri bersama kami. Dia beritahu akan pulang sama ada pada 28, 29 atau 30 September. Kali ini dia bercuti panjang kerana akan berkahwin. Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Yusoff berkata, pada Disember ini genap tiga tahun Mohd Shahrul bekerja dengan syarikat antarabangsa itu dan mula bertugas di Sepanyol sejak Ogos lalu.

Bagi Shamsiah, dia lebih terkesan tatkala menerima berita kematian anaknya kerana 13 jam sebelum kemalangan berlaku, Mohd Shahrul menghubunginya.

“Jam 5 pagi, Mohd Shahrul menghubungi saya. Memang rutinnya menghubungi saya sebelum ke tempat kerja. Dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan, sebaliknya dalam keadaan ceria dan kami berbual seperti biasa.

“Dia bertanya khabar serta menyuruh saya membuat kuih tat dan makmur untuk dijamahnya apabila pulang ke negara ini,” katanya.

Menurut Shamsiah, dia reda tetapi pilu mengenangkan nasib menimpa anaknya.

“Dia akan berkahwin pada 26 Oktober ini. Barang hantarannya sudah saya gubah dan hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada pihak perempuan.

“Kini, hantaran itu tersimpan rapi di dalam almari. Setiap kali melihat hantaran itu, sebak rasanya,” katanya.

Shamsiah berkata, Mohd Shahrul juga membeli rumah dan kereta baru sebagai persediaan untuk menjalani kehidupan berumahtangga.

“Segala-galanya sudah sempurna, tetapi semuanya tidak kesampaian,” katanya.

Menurut Shamsiah, hubungannya dengan Mohd Shahrul sangat rapat dan kehilangannya sangat dirasai.

“Mohd Shahrul anak yang baik. Dia membawa buah tangan untuk saya setiap kali pulang dari luar negara. Jika bercuti di negara ini dan keluar ke mana-mana sekalipun, dia akan membawa buah tangan untuk saya.

“Dia tidak suka menunjuk-nunjuk dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Sementara itu, sehingga hari ini, Yusoff dan Shamsiah masih menanti ketibaan jenazah Mohd Shahrul.

Ditanya bila jenazah akan dibawa pulang dari Sepanyol, mereka tidak dapat memberi jawapan kerana tiada kata putus daripada majikan Mohd Shahrul yang bertanggungjawab menguruskan jenazah anak mereka.

Wakil majikan Mohd Shahrul ketika dihubungi pula berkata, mereka dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Sepanyol kini berusaha memastikan jenazah dibawa pulang secepat mungkin.

“Kita faham situasi keluarga Mohd Shahrul, apatah lagi Aidilfitri semakin hampir.

“Kita akan berusaha membawa pulang jenazahnya secepat mungkin,” katanya.

1 comment:

Unknown said...

Al-Fatihah....semoga rohnya dicucuri rahmat...